CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Khamis, 30 April 2009

HUSNUZAN (BERBAIK SANGKA) SESAMA MUSLIM

Disediakan oleh:
Abu Anas Madani 1422
Pensyarah KIAS


Segala puji Bagi Allah Yang Maha Pengampun segala kesalahan dan Maha Menerima taubat hamba-Nya. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad, keluarga dan sahabat Baginda.
Sama-samalah kita berlumba membuat kebajikan dan amalan soleh serta memperbaiki diri sebagai bekalan untuk hari esok sebagaimana firman Allah Ta’ala:

Maksudnya: “Hari yang tidak berguna harta benda dan anak pinak kecuali mereka yang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera”.[Surah Asy-Syu’ara’ 88-89]
Hubungan yang murni dan suci sesama manusia merupakan maqasid (tujuan syariat) Islam, iaitu berlapang dada, mesra, kasihan belas, ukhuwwah, berkasih sayang dan sebagainya. Adalah menjadi kewajipan ke atas kita untuk mengekalkan hubungan dan ikatan sesama insan seteguh cerucuk yang ditanam dan sekukuh bangunan yang dibina, kita hendaklah bertemu manusia dengan dada yang lapang, hati yang bersih dan muka yang manis. Seterusnya kita hendaklah berbaik sangka dalam hubungan sesama manusia, menjauhkan sikap memandang serong kepada amalan orang, pegangan (aqidah) dan perkataan mereka.
Jika diperhatikan hubungan sesama muslim, kita akan dapati satu fenomena yang mendukacitakan, dengan ikatan persaudaraan yang tercarik dan simpulan ukhuwwah yang terungkai, disebabkan oleh sangkaan dan prasangka buruk, syak wasangka dan tuduhan yang tidak berasas.

Banyak kedengaran dalam majlis perbincangan umum ataupun khusus, tuduhan-tuduhan seperti; ‘pulan bermaksud begini’, ‘niat si pulan begini’, ‘maksud perbuatan atau perkataannya begini’… perkara seperti ini, semuanya lahir daripada buruk sangka yang merosakkan, menyalakan perasaan dengki dan kebencian, meruntuhkan hubungan baik masyarakat, menggoncangkan keutuhan ukhuwwah, memutuskan tali kekeluargaan, menanamkan sifat ragu dikalangan individu dan masyarakat. Bahkan berapa banyak yang telah kita dengar peristiwa besar dan bencana yang menimpa berpunca daripada sangkaan jahat (su’ uzzan) yang diletakkan bukan pada tempatnya.
Apabila penyakit su’ uzzan menular ke dalam diri, ianya akan membawa kepada; terlalu cepat membuat tuduhan, suka mencari kesalahan orang, suka menerima berita keburukan orang, suka mencari dan menyelidik rahsia keburukan orang. Kerana itu kita lihat orang yang bersikap su’ uzzan sering berkata: “Saya akan cuba memastikan kebenaran perkara ini”, maka, dia mula mencari rahsia dan kemungkinan dia akan mengumpat. Mungkin juga, dia akan menyebut saudara muslimnya dengan perkataan jahat maka dengan itu dia telah melakukan dosa yang berganda dan maksiat yang merosakkan. Di sini tersembunyi satu bahaya apabila hubungan sesama muslim dibina di atas sikap prasangka su’ uzzan, maka sangkaan menjadi asas kepada kasih sayang atau kebencian terhadap seseorang. Semua ini adalah pembunuh sikap berkasih sayang dan memusnahkan makna mahabbah.
Menebalnya sikap prasangka su’ uzzan akan menjadikan manusia mudah melemparkan tuduhan terhadap sesama mereka, kemudian tidak akan ada lagi sikap saling percaya-mempercayai, bahkan mereka akan sering berbalah-balahan, tidak bertegur sapa dan memutuskan hubungan, ini merupakan suatu sikap yang akan membawa kepada hilangnya kekuatan dan keutuhan umat.
Zan atau sangkaan terbina di atas asas agakan atau satu perkataan atau amalan yang diragukan. Zan akan menjadikan seseorang menurut perasaan di dalam dirinya yang suka membuat tohmahan terhadap saudaranya, maka dengan itu Zan akan menguasai dirinya juga cara pemikirannya. Sehingga kamu akan dapati orang yang bersikap prasangka akan merasakan seseorang yang disangkakan tidak baik itu telah melakukan kesalahan yang banyak berdasarkan khayalan sangkaannya hasil daripada sikap buruk sangkanya terhadap saudaranya.
Bahkan sehingga salam yang diucap oleh seorang muslim kalau telah dilingkungi oleh prasangka, boleh dianggap sebagai ejekan atau celaan, demikian juga dengan senyuman akan dianggap sebagai perlian atau sinisan, pujian dan pemberian hadiah juga boleh disalah ertikan dengan berbagai anggapan yang akan membawa kepada perbalahan dan perselisihan.
Firman Allah Taala:

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari keaiban orang lain dan janganlah kamu mengumpat akan setengahnya yang lain”. [Al-Hujurat: 12].
Ayat ini menunjukkan perintah supaya menjaga kehormatan orang muslim dengan sebaiknya kerana ianya didahului dengan tegahan daripada bercakap tentangnya dengan sangkaan. Kalau orang yang berprasangka mengatakan: ‘Saya akan kaji dan selidik’! Katakanlah kepada mereka: “Janganlah kamu mencari-cari keaiban orang lain”. Jika mereka berkata: ‘Saya telah pastikannya dengan tidak mencari keaiban’. Katakanlah: “Janganlah kamu mengumpat di antara satu sama lain”.
Firman Allah Taala (yang bermaksud): “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan”. Seruan kepada orang-orang mukmin, menyeru agar jangan biarkan diri mereka menjadi mangsa kepada semua yang terlintas dalam hati yang sering menyangka, syak dan ragu-ragu terhadap keadaan orang lain. Dengan ini Al-Quran telah membersihkan hati dari terkena kotoran prasangka yang akan membawa dosa, biarlah hati terus bersih daripada sebarang syak dan keraguan, bersih perasaannya terhadap saudaranya. Alangkah indahnya hidup di dalam masyarakat yang bersih dari prasangka.
Berkata sebahagian ulama’: “Perkara yang membezakan syak atau sangkaan yang mesti dijauhkan daripada yang sebaliknya ialah setiap keraguan yang tidak ada tanda yang sahih serta sebab yang nyata adalah haram, wajib dijauhi. Iaitu jika sekiranya seseorang itu dari kalangan orang yang baik atau yang tersembunyi kejahatannya, seorang yang tampak amanah pada zahirnya, maka meyangka jahat terhadapnya adalah haram. Ini berbeza dengan orang yang telah terkenal dari kalangan manusia yang sering melakukan perkara yang meragukan atau melakukan kejahatan secara terang-terangan”.
Ini kerana kebanyakan ulama’ berpendapat: “Tidak boleh berprasangka buruk kepada orang yang zahirnya tampak baik dan tidak mengapa berprasangka tidak baik terhadap orang yang zahirnya tampak tidak baik”.
Dari Sa’id bin Al-Musayyib rh katanya: ‘Telah menulis kepada saya beberapa orang ikhwah daripada sahabat Rasulullah S.A.W: Hendaklah engkau meletakkan urusan/perkara saudara engkau di tempat yang sebaiknya selagi kamu tidak didatangi oleh perkara yang menurunkannya dan jangan kamu menyangka satu kalimah yang keluar daripada seorang muslim itu tidak baik sedangkan kamu masih ada peluang untuk menjadikannya baik’.
Manhaj ini sangatlah dituntut apabila berdepan dengan orang yang mempunyai kelebihan dan kebaikan (ulama’, pendakwah dan lain-lain), ini adalah termasuk dalam fiqh Al-Maqasid dan niat, yang mungkin tidak disedari oleh setengah golongan, menyebabkan mereka sering menjatuhkan hukuman salah ke atas orang lain dengan tidak mengambil kira keadaan, niat dan tujuan orang tersebut. Mungkin kesalahan itu merupakan satu perkara yang tidak disengajakan dan beliau tidak bermaksud dengan kejahatan sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Ibnu Al-Qayyim rh dengan katanya: “Satu kalimah yang sama, diucapkan oleh dua orang yang berbeza, seorang bermaksud dengan kebatilan dan seorang lagi bermaksud dengan kebenaran, yang diambil kira (iktibar) ialah cara, pemikiran, mazhab dan ideologi yang didokong oleh orang yang berucap juga pegangan yang dipertahankannya”.
Kerana itu tidak dihukum kafir seorang yang kerana terlalu gembira sehingga tersalah mengatakan: ‘Ya Allah, Engkaulah hambaku dan akulah tuhanMu’, kerana dia tidak bermaksud menjadikan dirinya sebagai tuhan.
Sheikhul-Islam Ibnu Taimiyah rh menukilkan tulisan orang yang bercanggah dengan pendapatnya kemudian beliau mengatakan: “Kalam ini terlalu umum, orang yang inginkan kebenaran akan meletakkannya di tempat yang baik dan sebaliknya orang tidak menginginkan kebenaran akan memasukkan (menambah, menafsir, mentakwil) nya dengan bermacam-macam…”.
Inilah manhaj yang tinggi, sikap terbuka yang telah diterima oleh As-Salafussoleh... adil dan insaf yang telah digariskan oleh ulama’ ummah... mereka telah meletakkan perkataan yang mengandungi berbagai maksud di tempat yang baik… melapangkan dada yang terbuka, bebas dari pengaruh hawa nafsu, baik diri dan menasihati ummah... di mana kita dengan manhaj ini?
Bukan dari manhaj salaf menambah (menafsir, menghurai..) kan lafaz (yang tidak disebut) sehinggakan mengubah maksud, gembira dengan menyebarkan kesilapan orang dan bermuamalah sesama muslim dengan su’ uzzan, sangkaan jahat.
Sebahagian daripada prasangka ialah meletakkan perkataan dan perbuatan orang lain di tempat yang tidak baik iaitu dengan membesarkan kesalahan dan memandang mereka dengan penuh tohmahan, tanpa meneliti sebab atau mencari keuzuran, setiap perkataan yang boleh ditafsir dengan maksud yang baik dan tidak baik, akan diambil yang tidak baik…Subhanallah! Bagaimana mereka menghukum dengan menafsirkan niat dan tujuan dalam diri orang lain?.
Sesungguhnya perkara yang tersembunyi dan rahsia dalam diri untuk memuhasabahnya adalah ciri-ciri yang hanya tertentu bagi Allah swt Yang Maha Mengetahui perkara yang tersembunyi dan rahsia. Adapun manusia tidak ada hak baginya ke atas saudaranya kecuali amalannya yang zahir, inilah amalan Salafussoleh yang terdahulu, yang telah penuh hati mereka dengan didikan Islam yang sempurna lagi bersih.
Sheikh Abdur Razzaq Radhiallahuanhu telah meriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Utbah bin Mas’ud katanya: Aku dengar ‘Umar bin Al-Khattab ra berkata: “Bahawa sesungguhnya manusia pada zaman Rasulullah saw diberi penjelasan dengan wahyu dan wahyu telah terputus, kita sekarang hanya boleh mengambil kira perbuatan yang zahir daripada amalan kamu, sesiapa yang menzahirkan kepada kami kebaikan kami akan percaya dan dekat dengannya, tidak ada hak bagi kami mencampuri perkara yang tersembunyi, Allah akan menghisabnya. Sebaliknya sesiapa yang menzahirkan kejahatan kami tidak akan mempercayai dan membenarkannya, walaupun dia berkata niatnya baik”. Maka setiap muslim hendaklah memuhasabah dirinya dengan setiap kalimah yang diucapkannya atau suatu hukum yang dikeluarkannya, sentiasalah mengingati firman Allah Taala:

Maksudnya: “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang perkara yang dilakukan”. [Al-Isra’ 36].
Su’ uzzan atau sangkaan buruk terjadi daripada beberapa sebab, yang paling banyak terjadi ialah apabila seorang individu dibesarkan dalam suasana yang terkenal dengan akhlak yang buruk, buruk sangka, sama ada di rumah atau bersama kawan-kawan, menjadikannya berniat tidak baik dan mempunyai hati yang busuk.
Sesiapa yang mengikut hawa nafsu akan membawanya kepada perasaan zan dan sangkaan dusta, kerana kasihkan sesuatu akan menjadikannya buta dan tuli dan apabila seseorang cenderung kepada yang lain dengan hawanya, akan menjadikannya lupa kesalahan orang itu dan sentiasa berbaik sangka dengannya, walaupun orang itu melakukan kesalahan, demikianlah juga sebaliknya, dia akan sentiasa berprasangka buruk, mencari kesalahan dan menimbulkan kesilapan, walaupun orang itu benar pada dasarnya.
Sesetengah manusia ada yang bersikap bongkak, mengagumi kebolehan dirinya, sentiasa merasakan dirinya benar dan orang lain bersalah, membanggakan dirinya dan menghina orang lain, semua ini akan menjadikannya bersikap buruk sangka terhadap orang lain.
Sesungguhnya fenomena buruk sangka sesama Islam telah begitu meluas di zaman kita, menjadi barah yang meruntuhkan hubungan dan kesatuan (wehdah) di antara individu dan masyarakat muslim, ini adalah merupakan satu kesan negatif terhadap kekuatan masyarakat untuk menghadapi cabaran dari dalam dan luar.
Buruk sangka, menuduh tanpa asas, cepat menghukum telah menakutkan orang, menzalimi beberapa golongan dan beberapa orang yang soleh telah dijauhkan tanpa sebab yang diizinkan oleh syariat, sebagaimana kata orang dahulu: ‘Aku melihat permusuhan tetapi tidak melihat sebabnya’. Semuanya berpunca daripada percakapan yang tidak ada sandaran…hanya sangkaan yang buruk, umpatan jahat dan tuduhan palsu, firman Allah Taala:

Maksudnya: “Dan orang-orang yang menyakiti orang lelaki dan perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan tanpa kesalahan yang mereka lakukan, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta dan berbuat dosa yang amat nyata”. [Al-Ahzab 58].
Setelah jelas kepada kita –wahai saudara- bahawa buruk sangka adalah satu penyakit yang merosakkan, maka kita mesti berusaha untuk membendungnya sebelum ia terus merebak dan menghancurkan.
Di antara ubatnya ialah: berbaik sangka (husnuzzan) dengan manusia, jauhkan sikap buruk sangka, berfikir semasaknya sebelum membuat tuduhan atau hukuman. Sekiranya engkau tersalah kerana berbaik sangka adalah lebih baik daripada tersalah kerana cepat menghukum dengan buruk sangka. Kata Saidina ‘Umar bin Al-Khattab ra: “Jangan kamu membuat sangkaan terhadap satu kalimah yang keluar daripada seorang saudara mukminmu kecuali kebaikan selagi kamu masih ada cara untuk meletakkannya di tempat yang baik”.
Ubat yang seterusnya: sentiasa mencari keuzuran yang boleh memaafkan manusia, tinggalkan sikap suka mencari kesalahan atau mengorek keburukan orang lain, sentiasa berpegang dengan adab dan ajaran Islam dalam menghukum seseorang atau sesuatu perkara yang jelas dan meninggalkan segala yang tersembunyi hanya kepada Allah Yang Maha Mengetahui semua rahsia dan segala yang tersembunyi.
Firman Allah Taala:

Maksudnya: “Mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan semata-mata, pada hal sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran”. [An-Najmi, 28].

Sumber:

PERUTUSAN HARI RAYA 1422H DARI MIMBAR MASJID RASULULLAH SAW
Oleh: Sheikh Dr. Abdul Bari ‘Awad Ath-Thubaiti (Imam Masjid An-Nabawi)
[ http://alminbar.net/alkhutab/khutbaa.asp?mediaURL=5867 ]

Alih Bahasa Oleh:

Abu Anas Madani / Dr. Abdul Baasit bin Haji Abdul Rahman
Ph.D (Syariah) Universiti Islam Madinah
Email: ainbaa@yahoo.com
www.abuanasmadani.com / www.dartaibah.com
HP: 019-9441881.
Madinah, Syawal 1422.

"islam untuk semua, indahnya Islam"

Rabu, 22 April 2009

Muamalat dai'e.

"Korang jangan la tsiqqah sangat hingga lari mad'u..."
Antara tsiqqah, ego, sombong dan pelihara hati, yang mana lebih baik ya?
Tsiqqah: Kita cuba buat yang terbaik dan sebagai pimpinan(tak kira pimpinan di peringkat mana) untuk mendapatkan kepercayaan mad'u kita,(Jangan sehingga kita menjadi hipokrit).Bukan sahaja tsiqqah dalam erti kata "berjurus", baik.:)

Proses mentarbiah diri dalam membentuk fardil muslim memerlukan 1001 mujahadah, ketepikan apa orang "kata". Mungkin orang akan kata kita hipokrit, tapi sebenarnya pada masa itu, kita sedang dalam proses membentuk fardil muslim.
Contoh yang amat mudah. Solat sunat ba'diyyah. Mungkin sebelum ni, kita tidak biasa melazimi solat sunat ba'diyyah, tapi bila terdetik suara hati untuk solat sunat, Ikhlaskan niat, untuk melatih diri. Imam Gahazali ada menyebut tentang proses membentuk akhlak, yang pertama kita haruslah melalui proses riyadah iatu melatih diri. Seterusnya kita akan lalui proses mujahadah.Untuk membentuk dan mentarbiyyah diri ke arah yang di redhai Allah, memerlukan mujahadah yang tahap tinggi.

Jadi, jaganlah kita terlalu cepat melabelkan seseorang yang menjaga muamalatnya dengan muslimin dengan "tsiqqah tak bertempat". Hakikat dalam memelihara hati, menjaga hubungan kita dengan Allah amat susah. Cara individu memelihara hatinya mungkin pelbagai selagi tidak melanggar syariat.

Muamalat dengan mad'u tetap kena jaga antara muslimin dan muslimat.Tak kira lah mad'u yang kita sasarkan itu adalah di peringkat adik kita atau junior kita. Yakinlah dengan Allah,apabila kita jaga hubungan kita dengan manusia,Allah akan memelihara kita.Teringat ana semasa belajar di bumi waqafan KIAS . Ust Azhar dalam subjek fiqh munakahat,. Beliau menasihati anak didiknya agar jaga muamalat dengan muslimin. Sama juga hubungn dengan “couple”, “tunang”. Kl kita jaga hubungan ini, Allah akan jaga keluarga kita di kemudian hari. Islam antara cirri-cirinya ialah tsabat dan murunah iatu tetap dan fleksible. Tetap dari sudut hukum , dan fleksible dalam berdakwah selagi mana tidak melanggar syraiat dan dakwah Islam tersebar di mana bertapaknya kaki kita.

Pemakaian, penampilan Islamik tidak mengahalang kita untuk terus berdakwah. Malah, satu bonus untuk orang yang boleh mengekalkan pemakaiannya. ((Azillatin alal mu’minin, a’izzatin alal kafirin))Tidak salah untuk da’ie yang cuba untuk mengubah penamipilannya selagi mana tidak melanggar syaiatLihatlah realitI tempat yang kita berada.

Ego, sombong sebenarnya adalah kata-kata ujian buat dai’e agar dai’e ingat dan sentiasa bermuhasabah. Ini hanya pandangan penulis, bukan mana-mana organisasiOk, selamat amar maaruf nahi munkar.:)


"islam untuk semua, indahnya Islam"

Ketika diri dihimpit dengan kesusahan dan tekanan

Serabut? Rasa nak beruzlah? Lari daripada masalah?
Apabila kita diuji dengan "kata-kata" mad'u,diuji dengan mehnah-mehnah lain, JANGAN KITA LUPA pada yang maha Memahami, yang maha merancang segala-galanya.

Firman Allah dalam surah Al Taghabun yang bermaksud:
tidak ada kesusahan (atau bala bencana) Yang menimpa (seseorang) melainkan Dengan izin Allah; dan sesiapa Yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa Yang telah berlaku itu Dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Kadang-kadang, kita lupa segala yang datang sama ada ni'mat senang atau ni'mat ujian, adalah semuanya dari Allah.Allah memberi kita peluang untuk kita mendekatiNya, mengadu padaNya dengan penuh rasa hina dan rendah dirinya kita.Kadang-kadang kita lupa untuk menghina diri kita dihadapannya.

Jiwa rasa tidak tenang kerana kita JARANG mengingati Allah dalam keadaan kita di uji, dan kita lupa untuk redha dengan ujianNya dan mencari himkmah disebalik ujianNya..

" Ya Allah Yang Maha Perkasa, Ya Qowiyy Yang Maha Memiliki Kekuatan dan Ya Matin Yang Maha Sempurna Kekuatnnya, berikanlah daku kekuatan dan ketabahan jiwa agar daku mampu menghadapi segala kesusahan dan tekananan penuh ini dengan penuh kesabaran dan ketabahan. Daku sedar sesungguhnya kegagalan dan tekanan merupakan jalan kepada kejayaan. Berilakanlah daku ilmuMu Ya Alim agar dapatku mengambil pengajaran dari setiap kesusahn dan tekanan yang Engkau berikan. Berikanlah juga kepada diriku ini Ya Allah Ya Sobur Yang Maha Penyabar agar dengan kesabaranMu ini daku mampu bersabar dan bertahan dengan ujian-ujianMu dan Ya Allah Ya Ba'its Yang Maha Pembakar Semangat, bakarlah sentiasa semangatku agar daku tidak mengenal erti putus asa dan penat dan akan terus bangkit berjuang mengatasi setiap kesusahanku dan menmpa kejayaan demi kejayaan dengan kekuatan dan bantuanMu Ya Allah".

Serulah nama-nama Allah. Sesungguhnya Dia amat memahami dan mengerti apa yang terbuku dihati kita. Luahkanlah segalanya pada Nya.Orang yang bersabar ialah orang yang dapat menahan dirinya daripada meluahkan segala masalahnya kepada manusia, dan hanya kepada Allah tempat dia bergantung.Sahabat yang memahami, dijadikan cermin untuk membetulkn kesilapnnya. Moga kita memperoleh sahabt yang mampu 'MEMBETULKAN" diri kita dan bukan sekadar yang hanya mampu mengatkana kita adalah "betul".

Wallahu a'lam bissowab.

Jumaat, 17 April 2009

Salam final exam, salam ujian buat "da'ie, moga diberi kekuatan yang luar biasa dari Allah.


Salam imtihan untuk diri dan sahabat-sahabat.Tahniah bg rakan-rakan dan sahabt-sahabat yang baru sahaja menerima anugerah DEKAN untuk natijah yang lepas. Yang pasti, buat yang terbaik untuk Islam.(nasihat untuk diri terutamanya).

-Ikhlaskan niat kerana Allah. Jelas hadaf atau matlamat.
-Jangan lupa pergantungan kita dengan Allah. Sehebat mana strategi dan perancangan kita, tanpa rahmat dan pertolngan yang maha Pemurah,kejayaan dan ketenangan yang hakiki takkan dapat di capai.
-Pastikan ilmu yang dibaca boleh diterjemahkan kepada masyarakat.
-iLMU tanpa amal, ibarat pokok tanpa buah. Jadilah pokok yang dapat memberi buah wlaupun dibaling dengan batu sekalipun.
-Uaha*Doa*Tawakkal. ( Fa iza azamta fatawakkal alallah)
-Usah memandang rendah kepada sahabt yang memperolehi pointer yang lebih rendah dari kita.Sebaliknya berilah kata-kata semangat untuk terus berusaha.
-Istimewa buat ahli usrah khazinatul asrar-aida, sakinah-2, syahida, azma dan farehan. Juga buat peserta kembara al Banna, al Fateh.(jawaher, adhwa, azimah, k.ira, sarah, aini, zira, dan adik2 yang lain:).Mg imtihan ini mendekatkan kita dengan Allah. Sayang kalian semua kerana Allah.

Khas untuk sahabat2 seperjuangan MT ISIUKM -K.tiqa, k.fizs, zakiah, nabilah, fatimah,bi, aishah, zan,mariam, afifah, jamilah,rabunah, kinah , jannah, dan MT mslimin. Moga kita semua tsabat dan teguh disisi mehnahNYA.

Teman2 sepejuangan batch tahun 2..halimah, syharina, khalisahh, aishah s, aisyah a, mardhiah, hasanah, fifah klate, hafizah, syifa', salwa...dan teman2 yang sentiasa sudi menjadi teman kerana Allah. Ukhuwaah bersama kalian hanya Allah yang mampu membalsnya. Terima Kasih atas segalanya:)

Juga buat mantan2 pimpinan ISIUKM, k.aini, k.nisah, k.eli, k.ha, k.na, hanim, nisa', k.g, k.ahya'ain, yang arif k.sayd:).. Mg ukhuwwah kita kan terjalin erat. Kenangan maanis berasam kalian takkan dilupakan hingga ke ahkir hayat.:)

*BITTAUFIQ MA'ANNAJAH FIL KULLI IMTIHAN*

"islam untuk semua, indahnya Islam"

Tazkirah Ringkas - Orang Ibadah vs Orang Politik?



Terdapat dikalangan ummat Islam mereka bertanya, "Mengapakah terdapat dikalangan orang-orang kita yang aktif di medan politik lebih daripada ibadah?". Mereka ragu dengan gerakan dan kebangkitan Harakah Islamiyyah yang menyeluruh, kononnya ia tidak ada hubungan dengan pengertian Islam yang sebenar. Malah mereka menganggap ianya satu penyelewengan dari penghayatan Islam yang sebenar.

Islam tidak membezakan antara orang-orang yang beribadat di mihrab-mihrab masjid, yang mengeluarkan air mata kusyu' dan tawadu' kepada Allah, dengan orang yang berjuang untuk menegakkan kalimah Allah, baik dengan menggunakan air liur, dakwat pena, malah dengan peluh dan darah yang mengalir demi kecintaan mereka terhadap Islam.

Al-Imam `Abdullah al-Mubarak pernah menulis kepada sahabatnya yang beribadat di Makkah dengan meninggalkan jihad:

"Wahai saudara yang sedang beribadat di tanah suci,
Kalau saudara melihat kami, saudara akan ketahui,
Saudara hanya bermain dengan ibadat,
Siapa yang pipinya yang berlumuran airmata,
Maka leher kami berlumuran darah,
Kalau kuda mu penat didalam kebatilan
Maka kuda kami penat di medan perang."

Sesungguhnya membezakan antara orang yang beri'tikaf di masjid dengan mereka yang berjuang menegakkan masyarakat dan negara Islam, yang pertama dinamakan orang agama atau orang dakwah yang menghayati Islam, dan yang keduanya dipanggil orang politik yang berjuang untuk kepentingan duniawi, adalah pembezaan yang ditonjolkan oleh musuh Islam. Ini menunjukkan betapa jahilnya orang Islam jikalau mereka terpadaya dan terpengaruh dengan pengtakrifan ini!

Petikan dari buku "Islam : Fikrah, Harakah dan Daulah" oleh TG Hj Abdul Hadi Awang, Dewan Pustaka Fajar, Bab 1 dengan sedikit perubahan bahasa sesuai dengah tazkirah ringkas.
"islam untuk semua, indahnya Islam"

Renungan: Nasihat al-Qamah: Lima cara pilih sahabat

NASIHAT yang boleh diikuti dalam membina persahabatan ialah sebagaimana
pesanan al-Qamah (seorang sahabat Rasulullah saw) kepada anaknya:

Pertama, pilihlah sahabat yang suka melindungi sahabatnya, dia adalah
hiasan diri kita dan jika kita dalam kekurangan nafkah, dia suka mencukupi
keperluan.

Kedua, pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan
untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, dia suka menerima dengan
rasa terharu, jikalau ia melihat kebaikan yang ada pada dirimu, dia suka
menghitung-hitungkan (menyebutnya).

Ketiga, pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan
tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa
terharu dan dianggap sangat berguna, dan jika ia mengetahui mengenai
keburukan dirimu ia suka menutupinya.

Keempat, pilihlah sahabat yang jikalau engkau meminta sesuatu
daripadanya, pasti ia memberi, jikalau engkau diam, dia mula menyapamu dulu dan jika ada sesuatu kesukaran dan kesedihan yang menimpa dirimu, dia suka membantu dan meringankanmu serta menghiburkanmu.

Kelima, sahabat yang jikalau engkau berkata, ia suka membenarkan ucapan
dan bukan selalu mempercayainya saja. Jikalau engkau mengemukakan sesuatu
persoalan yang berat dia suka mengusahakannya dan jika engkau berselisih
dengannya, dia suka mengalah untuk kepentinganmu.

Dalam memilih sahabat kita hendaklah memilih sahabat yang baik agar
Segala matlamat dan hasrat untuk memperjuangkan Islam dapat dilaksanakan
bersama-sama sahabat yang mulia.

"islam untuk semua, indahnya Islam"

HADIS IFKI[1], UJIAN SEDIH KEPADA UMMUL MUKMININ, AISYAH R.A.

Rujuk blog : http:tasekpauh.blogspot.com (ust Tuan Safuan)

Muqaddimah

Daripada Aisyah r.a., beliau berkata (menceritakan) bahawa Rasulullah s.a.w. apabila ingin keluar (bermusafir), baginda akan membuat undian di kalangan isteri-isterinya. Maka sesiapa yang keluar undiannya, maka dialah yang akan keluar bersama dengan Rasulullah s.a.w.. Satu kali, ketika baginda ingin keluar dalam satu peperangan[2], aku berjaya mencabut undian, (dan akulah yang boleh pergi bersama Rasulullah s.a.w.). Lalu aku pun keluar bersama baginda dan musafir ini berlaku setelah turunnya ayat hijab (larangan lelaki daripada melihat kepada perempuan, kerana sebelum ini tidaklah dilarang). Aku dibawa dengan haudaj ( tempat yang biasanya diletakkan perempuan di dalamnya dan ia diikat di atas belakang unta) dan aku diletakan di situ. Lalu kami keluar (bersama Rasulullah s.a.w. dan para sahabat panglima perang baginda) sehinggalah apabila selesai peperangan, dan kami pun balik ke Madinah.

Perjalanan Pulang

Dan pada satu malam, setelah hampir dengan Madinah, ( kami berhenti rehat), dimaklumkan bahawa (rombongan) kita akan bergerak (pulang). Tatkala mereka sibuk saling memberitahu untuk bergerak, aku pula berjalan (berseorangan) pergi berjauhan dengan para tentera (untuk qada hajat). Setelah aku selesai, aku pun kembali, tiba-tiba aku dapati manik-manik Azfar[3] rantai leherku telah putus (dan hilang). Lalu aku pun pergi sekali lagi ke situ untuk mencari rantaiku itu. Dan kumpulan yang berjalan bersamaku pun mula mengangkat haudajku, dan mereka pun mula mengenderai unta yang ku naiki. Mereka menyangka aku sudahpun berada di dalamnya. Dan kaum wanita pada masa itu (biasanya) kurus-kurus, tidaklah berat dengan lemak, kerana mereka sentiasa makan sedikit sahaja. Kerana itulah mereka tidak perasan (ketiadaanku) semasa mereka mengangkatkan haudaj tersebut. (Tambahan lagi) aku hanyalah seorang budak. Mereka pun menggerakkan unta dan mula berjalan. Setelah para tentera meneruskan perjalanan, aku pun jumpai rantaiku itu. Setelah aku menjumpainya, aku pun kembali pergi ke tempat tentera tadi, dan aku dapati mereka semua sudah berangkat. Tidak ada seorangpun yang memanggilku dan tidak ada seorang pun yang akan menyahut panggilanku. Lalu aku pun duduk berada di kawasanku tadi (tempat untaku dan haudaj) dengan harapan bahawa mereka akan perasan ketiadaanku dan mereka akan kembali menemuiku. Tatkala aku berada di situ keseorangan, aku terasa terlalu mengantuk, lalu aku pun tertidur.

Safwan bin Muattal Mengambil Aisyah Dan Bermulanya Fitnah

Safwan bin Muattal as-Sulami az-Zakwani[4] pula merupakan askar yang terlewat dan berjalan di belakang para tentera. Dan tatkala beliau sampai di kawasanku, beliau nampak bayangan orang yang sedang tidur, lalu dia pun datang, dan setelah melihatku dia mengenaliku. Ini kerana dia pernah melihatku sebelum turunnya suruhan berhijab. Setelah beliau cam diriku, beliau (terkejut seraya) mengucapkan istirja’ (Inna lillahi Wa Inna Ilaihi Raji’un) dan aku terjaga (dari tidurku) kerana mendengar istirja’nya itu. Lalu aku segera menutup mukaku dengan kain penutup mukaku. Demi Allah, dia tidak bercakap denganku walau sepatah dan aku pula tidak mendengar satu kalimah pun (dari mulutnya), kecuali kata-kata istirja’nya sahaja. Lalu beliaupun menarik untanya mendekatiku dan mendudukkannya (untuk menyenangku naik tanpa perlu menyentuhku), dan aku pun naik (menunggangnya). Safwan pun mula berjalan (kaki) mengheret untanya sehinggalah kami sampai di kawasan perhentian tentera di waktu panas terik matahari.

(Aisyah meneruskan ceritanya lagi dengan katanya): Lalu dengan sebab itu binasalah orang yang binasa (dengan menyebarkan fitnah bahawa aku berzina dengan Safwan) dan orang yang mengepalai fitnah besar ini ialah Abdullah bin Ubai bin Salul.

Aisyah Ditimpa Demam Setelah Sampai Di Madinah

Setelah aku sampai di Madinah, aku ditimpa demam selama sebulan, dan orang ramai pula heboh dengan cerita yang dibawa oleh pendusta-pendusta itu, dan aku pula sedikitpun tidak mengetahui fitnah tersebut. (Semasa demam itu, Aisyah berada di rumah Rasulullah s.a.w. dan dijaga oleh emaknya). Cuma yang menghairankan aku ialah semasa demamku ini, aku tidak melihat lemah lembut Rasulullah s.a.w. (sikap kebiasaan baginda). Baginda hanya masuk menjengokku, memberi salam dan bertanya khabar sahaja, dan kemudian baginda akan beredar. Itu sahaja yang menghairankanku.

Aisyah Mula Mengetahui Fitnah

Dan aku sedikit pun tidak mengetahui fitnah tersebut, sehingalah aku beransur sembuh (belum sembuh sepenuhnya) aku keluar bersama Ummu Mistah menuju ke Manasi’ iaitu (tempat yang biasa digunakan untuk qada hajat). Dan biasanya (orang pada masa itu) tidak datang ke situ kecuali pada sebelah malam, dan cerita ini sebelum adanya tandas berdekatan dengan rumah. Kami pada masa itu samalah seperti orang arab kuno dulu yang keluar qada hajat jauh dari kawasan rumah dan tidak suka disediakan tandas di kawasan rumah. Lalu aku keluar bersama Ummu Mistah dan dia ialah anak perempuan Abu Ruham bin Abd Manaf, dan emaknya pula ialah anak perempuan Sohkr bin Amir iaitu (emaknya adalah) emak saudara Abu Bakar. Anaknya pula ialah Mistah bin Usasah. Setelah sampai ke situ, Ummu Mistah terjatuh dan dia berkata: Celaka Mistah. Lalu aku berkata: Alangkah buruknya perkataanmu. Adakah kamu ingin mencela orang yang pernah masuk perang Badar? Dia menjawab: Aduhai Aisyah! Adakah kamu tidak mengetahui apa yang dia telah katakan? Aku menjawab: apa pula yang dia sudah katakana? Lalu dia mula menceritakan fitnah yang dilemparkan kepadaku oleh para pendusta itu. Dan bertambah buruk pula demamku dengan sebab cerita yang aku baru dengar itu.

Aisyah Meminta Keizinan Untuk Kembali Ke Rumah Orang Tuanya

Setelah aku pulang ke rumah, dan Rasulullah s.a.w. masuk menjengukku. Baginda memberi salam dan bertanya khabar, aku berkata: Adakah kamu izinkan aku kalau aku ingin pulang ke rumah kedua ibu bapaku? Sebenarnya aku meminta demikian untuk mencari kepastian daripada kedua ibu bapaku mengenai fitnah tersebut. Lalu Rasulullah s.a.w. izinkanku. Setelah aku sampai ke rumah orang tuaku, aku bertanya ibuku: Wahai ibu, apakah yang orang ramai sedang perkatakan? Ibuku menjawab: (dia sudahpun mengetahui tentang fitnah tersebut) Wahai anak kesayanganu, sabarlah dan janganlah benda ini menyusahkanmu. Mana-mana perempuan cantik yang bermadu, dan dia pula disukai oleh suaminya, sudah tentu ramai orang akan mengatanya. Aku menjawab: Subhanallah. Adakah orang ramai sudah bercakap tentangnya? Air mataku pada malam itu tidak putus-putus dan aku tidak mampu tidur kerana menangis sampai ke pagi.

Rasulullah s.a.w. Berbincang Dengan Para Sahabat Mengenai Aisyah

Rasulullah s.a.w. pula memanggil Ali bin Abu Talib dan Usamah bin Zaid untuk membincangkan mengenai (buruk baik jika baginda) menceraikan isteri baginda. Ini kerana lambatnya turun wahyu dalam masalah ini. Usamah bin Zaid menyatakan pendapatnya berdasarkan apa yang beliau tahu mengenai kebaikan ahli keluarga Rasulullah dan beliau menganggap bahawa sebenarnya keluarga baginda bebas daripada tuduhan tersebut. Beliau berkata: Kami tdak mengetahui tentang keluargamu wahai Rasulullah melainkan yang baik sahaja. Ali pula (untuk menghilangkan keresahan baginda dengan fitnah tersebut) berkata: Wahai Rasulullah, Allah sesekali tidak akan menyempitkanmu, ramai lagi wanita selain Aisyah. Dan jika kamu bertanya jariahnya (khadam perempuan Aisyah) nescaya dia akan bercakap benar denganmu. Rasulullah s.a.w. pun memanggil Barirah (khadam Aisyah) dan baginda bersabda bertanya: Wahai Barirah, adakah sesuatu yang kamu ragui mengenai Aisyah? Barirah menjawab: Tidak. Demi Allah yang mengutuskanmu dengan kebenaran, aku tidak pernah melihat pada Aisyah satu perkara pun yang meragukanku. Cumanya aku menganggap beliau adalah seorang budak yang masih mentah yang boleh tertidur ketika menjaga tepung keluarganya, lalu datanglah binatang yang memakannya[5]. (Maksud Barirah ialah Aisyah sedikit pun tak terlintas melakukan perkara seperti yang disebut oleh para penyebar fitnah itu).

Rasulullah s.a.w. Terasa Dengan Fitnah Tersebut

Lalu Rasulullah s.a.w. bangun pada masa itu menuntut bela untukku terhadap Abdullah bin Ubai bin Salul. Baginda bersabda: siapakah di kalangan kamu yang ingin menolong menuntut bela bagiku terhadap seorang lelaki yang telah sampai kepadaku kejahatannya terhadap isteriku? Demi Allah, aku tidak mengetahui tentang isteriku kecuali perkara yang baik. Dan mereka juga (para pendusta) menyebut seorang lelaki yang aku tidak mengetahui mengenainya melainkan kebaikan sahaja[6]. Dan dia tidak pernah masuk kepada isteriku melainkan dengan bersamaku.

Aus Dan Khazraj Bertengkar Di Hadapan Rasulullah s.a.w.

Lalu bangunlah Saad bin Muaz, iaitu seorang Ansar dan berkata: Wahai Rasulullah, aku sanggup menuntut bela untukmu. Kalaulah dia di kalangan orang Aus, aku akan penggal lehernya, dan jika di kalangan saudara kami orang Khazraj, kamu suruh saja kami, nescaya kami akan laksanakannya. Lalu bangunlah Saad bin Ubadah, dan beliau merupakan ketua kaum Khazraj, dan beliau sebelumnya merupakan seorang yang soleh, tetapi semangat perkaumannya menyebabkan dia berkata kepada Saad: kamu berdusta, Demi Allah. kamu tidak akan membunuhnya (kaummu) dan kamu tidak akan mampu membunuhnya. Lalu anak saudara Saad bin Muaz, iaitu Usaid bin Khudair bangun dan berkata kepada Saad bin Ubadah: Demi Allah, kamulah sebenarnya yang berdusta. Kami pasti akan membunuhnya. Sesungguhnya kamu adalah orang munafiq yang berhujah untuk kaum munafiqin (ini kerana Abdullah bin Ubai adalah dari kalangan kaum Khaazraj). Lalu kaum Aus dan Khazraj saling bangun membantu kaum masing sehingga hampir berlaku peperangan. Sedangkan Rasulullah s.a.w. pada masa itu berdiri di atas minbar. Dan baginda pun mula menenangkan mereka sehinggalah mereka semua diam, barulah baginda berhenti.

Kesedihan Aisyah

Aisyah berkata: sejak daripada hari itu, air mataku mencurah-curah tidak putus dan aku berjaga sepanjang malam. Akhirnya kedua ibu bapaku berada bersamaku sentiasa. Dan sememangnya aku telah mengangis selama sehari dua malam tak putus dengan air mata dan berjaga sepanjang malam, sehingga mereka berdua menyangka bahawa ia akan merosakkan jantungku. Tatkala mereka berdua berada bersamaku, dan aku pula masih lagi menagis, tiba-tiba datanglah seorang perempuan Ansar meminta izin untuk berjumpaku, lalu aku benarkan dia masuk berjumpaku. Lalu dia masuk dan duduk menangis bersamaku.

Rasulullah s.a.w. Bertanya Aisyah Tentang Cerita Orang Ramai

Ketika itu, tiba-tiba Rasulullah s.a.w. masuk dan baginda memberi salam dan duduk. Sebelum ini, baginda tidak pernah duduk di sisiku sejak tersebarnya fitnah tersebut. Dan sudah berlalu sebulan, tidak ada satu wahyu pun yang turun mengenaiku. Kemudian Rasulullah s.a.w. memulakan kata-katanya dengan pujian kepada Allah dan ucapan syahadah, lalu baginda bersabda: Wahai Aisyah, telah sampai kepadaku berita tentangmu begini-begini. Kalaulah kamu memang tidak melakukannya, nescaya Allah akan membebaskan kamu, dan jika kamu telah melakukan dosa, istighfarlah kepada Allah dan bertaubatlah kepadaNya. Sesungguhnya seorang hamba bila dia mengakui dengan dosanya, dan bertaubat memohon keampunan daripada Allah, nescaya Allah akan mengampunkannya.

Jawapan Aisyah Terhadap Soalan Rasulullah s.a.w.

Setelah Rasulullah s.a.w. selesai kata-katanya, air mataku terhenti, dan aku tidak merasakannya walaupun setitik. Aku berkata kepada ayahku (Abu Bakar): jawablah apa yang dikatakan oleh Rasulullah. Dia menjawab: Demi Allah, aku tidak mengetahui apakah yang boleh aku katakan kepada Rasulullah s.a.w. Lalu aku berkata kepada ibuku: Jawablah kata-kata Rasulullah s.a.w. Dia juga menjawab perkataan yang sama: Demi Allah, aku tidak mengetahui apakah yang boleh aku katakana kepada Rasulullah s.a.w. Lalu aku sendiri bercakap, sedangkan aku masih lagi seorang pemudi yang mentah dan aku tidaklah mengahafal banyak ayat suci al-Qur’an. Aku berkata: sesungguhnya demi Allah, aku memang dah mengetahui bahawa kamu semua telah mendengar cerita ini, dan cerita ini dah pun berada di jiwa kamu semua, dan kamu semua mempercayainya. Kalaulah aku berkata yang aku ini tidak bersalah –Dan Allah sahaja yang mengetahui bahwa aku tidaklah bersalah- kamu semua tidak akan mempercayaiku. Dan jika aku mengakui -sedangkan Allah mengetahui bahawa aku tidaklah bersalah- tentulah kamu semua mempercayainya. Demi Allah, tidak ada umpama bagiku melainkan seperti perkataan ayah Nabi Yusuf (dalam riwayat yang lain, Aisyah tercari-cari nama ayah Nabi Yusof, iaitu Nabi Yaaqub, tetapi kerana kesedihan yang menimpanya menyebabkan beliau terlupa), iaitu: ( Sabar adalah lebih baik, dan Allah sahaja tempat aku memohon pertolongan daripada apa yang mereka katakan). Lalu aku pun memalingkan mukaku dan aku berbaring di tilamku.

Impian Aisyah

Pada ketika itu, aku yakin bahawa aku tidak bersalah, dan Allah sendiri yang akan menyataka bahawa aku tidak bersalah (sebab tiada siapa lagi selain Allah yang mampu membebaskanku). Tetapi, demi Allah, aku tidak pernah menyangka bahawa Allah akan menurunkan ayat suci al-Qur’an yang akan sentiasa dibaca (sehingga kiamat) dalam urusanku ini. Dan urusanku ini pada diriku adalah sangat kecil (dan tidak perlulah) Allah bercakap dengan wahyu yang akan sentiasa dibaca. Tetapi aku cuma berharap bahawa Rasullah s.a.w. bermimpi dalam tidurnya bahawa Allah menyatakan bahawa aku ini tidak bersalah.

Turunnya Wahyu Membenarkan Aisyah

Aisyah meneruskan lagi ceritanya. Demi Allah pada masa itu, Rasulllah s.a.w masih belum berganjak, dan tidak ada seorang pun yang beredar sehinggalah turunnya wahyu kepada baginda. Lalu nampaklah pada baginda seperti orang yang sangat kuat demamnya sehinggalah keluarlah peluh seperti permata walaupun pada hari yang sangat sejuk, kerana beratnya perkataan yang diwahyukan kepadanya. Setelah hilang keadannya itu, baginda kelihatan terlalu gembira. Dan kalimah pertama yang ducapkannya ialah, wahai Aisyah, bergembiralah, sesungguhnya Allah SWT telahpun membebaskanmu. Lalu ibuku berkata kepadaku: bangunlah kepada Rasulullah (untuk ucapkan terima kasih kepada baginda). Aku menjawab: Demi Allah, aku tidak akan bangun kepadanya (pergi memeluknya), dan aku tidak akan memuji kecuali Allah sahaja (yang telah membebaskanku). Dan Allah telah turunkan ayat “Sesungguhnya segolongan di kalangan kamu yang membawa berita dusta itu[7]…sepuluh ayat semuanya.

Sikap Abu Bakar SetelahTurunnya Wahyu Tentang Kesucian Aisyah

Setelah Allah SWT turunkan ayat yang membebaskanku, Abu Bakar as-Siddiq yang sentiasa memberikan sedekah kepada Mistah kerana dia adalah kerabatnya, dan dia pula seorang yang miskin, berkata: Demi Allah, aku tidak akan memberikan sesuatu pun kepada Mistah setelah apa yang dia katakan kepada Aisyah. Lalu Allah SWT turunkan ayat : “Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahwa mereka (tidak) akan memberi (bantuan) kepada kaum kerabat(nya), orang-orang yang miskin dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, dan hendaklah mereka mema'afkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahwa Allah mengampunimu? dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. Lalu Abu Bakar berkata: Bahkan. Demi Allah, aku sangat suka kalau Allah mengampunkaku. Lalu dia pun meneruskan sedekah yang menjadi kebiasaanya kepada Mistah, dan berkata: Demi Allah, aku tidak akan menghentikan lagi sedekahku ini.

Pandangan Zainab Terhadap Aisyah

Aisyah berkata lagi: Rasulullah s.a.w. juga pernah bertanya Zainab binti Jahsy tentangku. Baginda bersabda: Wahai Zainab, apakah yang kamu tahu atau nampak tentang Aisyah? Zainab menjawab: wahai Rasulullah, aku menjaga telinga dan mataku. Aku tidaklah mengetahui tentang Aisyah melainkan kebaikan sahaja. Padahal dialah yang sentiasa menyaingi aku di kalangan isteri-isteri Rasulullah s.a.w. , tetapi beliau (tidak memburukkanku kerana) Allah menjaganya dengan sebab kewarakan yang ada padanya. Tetapi saudarinya iaitu Hamnah tidak menyetujui Zainab (kerana ingin merendahkanku dan menaikkan saudarinya iaitu Zainab), lalu dia binasa (berdosa) bersama-sama dengan orang binasa di kalangan para pendusta itu.

Hadis riwayat Imam Bukhari (4750) daripada Urwah dalam Kitab Tafsir, bab ke 60.

[1] Hadis Ifki adalah satu istilah yang digunakan untuk kisah fitnah terhadap Ummul Mukminin, Saiditina Aisyah r.a. Dan ifki bererti pembohongan yang melampau. Cerita yang saya kemukakan ini adalah terjemahan hadis riwayat Imam Bukhari, dalam Kitab at-Tafsir, bab 60 dalam kitab Sohih Bukhari. Saya cuma meletakkan tajuk-tajuk dan nota kaki (untuk menyenangkan pembacaan). Segala kesilapan penterjemahan (jika ada) adalah tidak disengajakan dan harap diperbetulkan.

[2] Peperangan Bani Mustoaliq, mengikut penerangan Ibnu Hajar al-Asqalani, dan ia terdapat keterangan yang sorih dalam riwayat Ibnu Ishaq. Rujuk, Fathul Bari, jilid 8, m/s585. Peperangan ini berlaku pada bulan syakban tahun kelima atau keenam Hijrah. Rujuk ar-Rahiqul Makhtum.

[3] Para ulamak juga kurang pasti tentang daripada apakah rantai itu dibuat. Ada yang menganggap bahawa ia adalah daripada manik batu Zafari, satu Bandar di Yaman. Ada juga yang menganggap bahawa ia mungkin diperbuat daripada sejenis kayu wangi yang boleh dijadikan kemenyan. Kayu tersebut dijadikan manik-manik rantai mungkin kerana kecantikan warnanya atau kerana kewangiannya. Ada juga riwayat yang mengatakan harga rantai leher itu hanyalah dua belas dirham. Ini menunjukkan bahawa ia bukan manik batu Zafari, kerana kalaulah manik batu Zafari, sudah tentu harganya lebih mahal. Fathul Bari.

[4] Safwan bin Muattal merupakan seorang sahabat yang terbilang, dan antara yang awal memeluk Islam, kerana dia juga pernah menyertai peperangan Khandak. Dia adalah sahabat yang dipuji oleh Rasulullah s.a.w. (sebagaimana yang akan datang dalam hadis ini. Sebab beliau terlewat ialah kerana beliau meminta untuk ditugaskan sebagai orang yang akan memastikan barangan yang teercicir oleh para tentera dipungut oleh beliau. Beliau mati syahid sebagaimaana yang diceritakan oleh Aisyah. Beliau syahid dalam peperangan Armania, pada tahun ke 9 Hijrah, semasa zaman pemerintahan Umar.

[5] Ini kerana Barirah pernah mengisarkan tepung untuk dijadikan roti, dan dia menyuruh Aisyah menjaganya sebentar. Tetapi Aisyah boleh tertidur dan lalai untuk menjaganya, sehingga tepung itu dimakan oleh bebiri. Maksud Barirah ialah, kalaulah Aisyah boleh lalai dalam menjaga tepung tadi, maka lebih-lebih lagilah Aisyah tak terlintas untuk melakukan perzinaan sebagaimana yang dituduh oleh para pendusta itu.

[6] Pujian Rasulullah s.a.w. terhadap Safwan bin al-Muattal. Sudah ditakdirkan bahawa yang dituduh bersekedudukan dengan Aisyah adalah seorang yang terlalu menjauhkan diri daripada perempuan. Beliau pernah berkata bahawa beliau tidak pernah membuka kain yang menutup auarat perempuan samada secara halal atau pun haram. Kerana inilah beliau telah menetak Hassan bin Thabit (penyair Rasulullah) dengan pedangnya kerana beliau juga antara yang termakan dengan fitnah tersebut dan menyebarkannya. Dan Rasulullah meminta supaya Hassan memaafkannya, lalu dia (Sofwan) dilepaskan.

[7] Ayat 11-20 surah an-Nur.

Tuan Mohd Sapuan Tuan Ismail, http://tasekpauh.blogspot.com/ UPI, KIAS, 0136353463
"islam untuk semua, indahnya Islam"

Jumaat, 3 April 2009

seminar dakwah fardiyah, hayya bina..

"Tafaqqahu qabla an tasuudu" .Salam daie, salam mad'u. Sahabat2 dijemput ke seminar dakwah fardiyyah. Maklumat lanjut sebgaimana berikut.

"islam untuk semua, indahnya Islam"

Rabu, 1 April 2009

2 bukit , 1 batang



 •         •                                 

111. Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang Yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka Dengan (balasan) Bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada Yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga Yang demikian ialah) sebagai janji Yang benar Yang ditetapkan oleh Allah di Dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi Yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? oleh itu, bergembiralah Dengan jualan Yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan Yang besar.




Selamat perjuangkan Islam di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai.

"islam untuk semua, indahnya Islam"